WAN Rosdy. FOTO Muhd Asyraf Sawal.


KERAJAAN Pahang mengumumkan remisen atau penurunan kadar cukai tanah sebanyak 80 peratus untuk kategori industri bagi tahun 2020 berkuat kuasa hari ini.

Kadar remisen itu membabitkan semua daerah di Pahang kecuali daerah kecil Gebeng dan Genting Highlands iaitu 50 sen per meter persegi berbanding RM2.50 pada kadar cukai tahun 2020 yang diwartakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kategori industri bagi daerah kecil Gebeng hanya perlu membayar RM1 berbanding RM5 per meter persegi.

Katanya, daerah kecil Genting Highlands pula pada harga 80 sen berbanding RM4.

“Pengurangan kadar cukai tanah ini berdasarkan rayuan dan hasil daripada pertimbangan, Mesyuarat Exco Pahang hari ini bersetuju memberikan remisen sebanyak 80 peratus.

“Saya percaya kadar ini akan menggembirakan pembayar cukai tanah kategori industri kerana pada peringkat awal mereka dikenakan jumlah yang agak tinggi,” katanya pada sidang media di pejabatnya, Kuantan, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang, Datuk Nazri Abu Bakar.

Baru-baru ini, pelbagai pihak terutama pembayar cukai tanah bagi kategori industri meminta Kerajaan Pahang mengkaji kadar cukai tanah yang dikatakan tinggi.

Dalam pada itu juga, Wan Rosdy turut mengumumkan kadar cukai tanah bagi kategori pertanian berkeluasan melebihi 40 hektar bagi semua daerah diberi remisen RM250 iaitu kurang RM50 berbanding RM300 per hektar seperti yang diwartakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 8:35 PM