GAMBAR hiasan
Siti Nur Mas Erah Amran


KEDAH tidak bercadang melakukan catuan air ekoran musim kemarau yang melanda.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri sudah melancarkan kempen #JimatJanganBazir bagi menggalakkan masyarakat menggunakan air dengan lebih berhemah.

“Buat masa ini, catuan air belum dilakukan sebaliknya kita lancarkan program penjimatan air supaya masyarakat berjimat.

“Memang ada aduan air tidak cukup, tetapi kalau kalau nak diikutkan, hanya lapan peratus sahaja yang terjejas, manakala 92 peratus lagi dapat bekalan air yang sempurna.

“Tetapi, kadang-kadang golongan 92 peratus ini yang melakukan pembaziran dan kita harap mereka dapat berjimat supaya kawasan yang terjejas akan mendapat bekalan air juga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan kerjasama pelaburan di kawasan perindustrian Bukit Selambau, Sungai Petani antara Zhejiang Element Holding Co Ltd bersama Invest Kedah Berhad dan Genting Ehsan (SP) Sdn Bhd di Wisma Darul Aman, di Alor Setar, hari ini.

Semalam, kerajaan negeri melancarkan kempen #JimatJanganBazir di Muzium Negeri yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Zamri Yusuf.

Selain itu, kerajaan negeri turut menganjurkan pertandingan ‘Water Hero Challenge’ yang menyediakan ganjaran sebanyak RM100,000 bagi menggalakkan pengguna mengurangkan pembaziran air menerusi penurunan bil air bulanan bagi Februari dan Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 9:07 PM