Zuraida Kamaruddin. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Suraya Roslan


SERAMAI 43 pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini sebulat suara menyokong Naib Presiden parti itu Zuraida Kamaruddin yang diberi notis tunjuk sebab atas dakwaan salah laku disiplin.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka menggesa semua pihak untuk menghentikan segala tindakan yang menggugat perpaduan anggota dan cuba meremehkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan parti.

“Tindakan mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Zuraida oleh Jawatankuasa Disiplin turut menambah ketegangan dalam parti.

“Kami berpendirian tindakan dan tekanan mendesak pemecatan Zuraida bermotifkan ‘mala fide’ kerana cemburu dengan kejayaan dan ketokohan beliau sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” kata kenyataan yang ditandatangani Zuraida dan 43 pimpinan lain termasuk Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, Zuraida mempamerkan komitmen membanggakan serta budaya kerja cukup dinamik dalam kementerian.

“Zuraida berjaya menterjemahkan reformasi dalam kerajaan menerusi dasar perumahan rakyat. Sebagai pemimpin parti, Zuraida memberi banyak sumbangan dalam aspek pembangunan kepimpinan wanita dan usaha pemerkasaan akar umbi.

“Tekanan dan gangguan terhadap beliau adalah tindakan selektif, berat sebelah dan berprasangka buruk. Tindakan ini hanya ditujukan terhadap sesetengah anggota parti tanpa menghiraukan beberapa tindakan provokatif lain yang dilakukan beberapa pimpinan dan anggota yang berterusan mengeluarkan kenyataan memecahbelahkan parti,” katanya.

Malah, dalam kenyataan itu, mereka menuntut supaya tindakan disiplin terhadap Zuraida dihentikan serta-merta dan diselesaikan secara baik demi mewujudkan semula keharmonian dalam parti.

“Sekiranya tindakan ini tidak dihentikan, kami akan membincangkan tindakan selanjutnya berdasarkan prinsip perjuangan PKR.

“Presiden dan pimpinan PKR bertanggungjawab memainkan peranan untuk menerajui 2020 dengan semangat dan iltizam baru yang memberi fokus kepada usaha penyatuan dan menyemarak perpaduan parti.

“Kami yakin dan percaya, sekiranya muafakat dapat dicapai, pelaksanaan agenda reformasi dapat direalisasikan sekali gus menjamin prestasi dan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan,” kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 9:21 PM