MOHAMMAD Aiman. FOTO Zaid Salim


MURID tahun satu lemas selepas terjatuh ketika mencuci kaki di tebing Sungai Terengganu dekat Pulau Duyong, Kuala Terengganu, semalam.

Pada kejadian itu, mangsa, Mohammad Aiman Alfian Abdullah, 7, disahkan meninggal dunia ketika dirawat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Difahamkan, sebelum kejadian 6.30 petang itu, kanak-kanak itu dikatakan bermain bola di kawasan berpasir berhampiran sungai berkenaan.

Selesai bermain, mangsa bersama dua rakan dikatakan ke tepi sungai untuk membasuh kaki sebelum tergelincir dan jatuh ke sungai.

Rakan mangsa yang panik dengan kejadian itu kemudian ke rumah keluarga mangsa kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian untuk memaklumkan kejadian kepada ibu mangsa, Ismaniza Ismail, 32.

Sementara itu, saksi kejadian, Asuwadi Alias, 41, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke kedai kopi untuk minum petang dan ternampak orang ramai berada di tepi sungai

“Masa itu, mangsa sudah dibawa naik ke darat dan saya berusaha memberi rawatan kecemasan sementara menunggu ambulans sampai,” katanya.

Bapa mangsa, Shamsul Hizam Sulong, 42, pula berkata anaknya dirawat di wad kecemasan HSNZ sebelum disahkan doktor meninggal dunia kira-kira 20 minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 8:40 AM