ANTARA ikan hiasan yang dirampas. FOTO Ihsan MAQIS
Zuliaty Zulkiffli


CUBAAN lelaki menyeludup keluar ikan hiasan ke negara jiran gagal apabila ia dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), di Bukit Kayu Hitam,

semalam.

Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind berkata, pihaknya dengan kerjasama anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melakukan pemeriksaan di laluan kereta Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 1.30 tengah hari.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati sebuah pacuan empat roda yang dipandu oleh seorang lelaki membawa 59 ikan kelisa dan tujuh ekor koi yang dibawa dari negara ini.

“Jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM51,400.

“Semua ikan hiasan berkenaan ditemui di bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lily Rosalind berkata, kesemua ikan hiasan itu dirampas kerana tidak mempunyai permit eksport yang dikeluarkan daripada pihak MAQIS.

Bagaimanapun katanya, tiada tangkapan dilakukan dalam kes ini.

“Perbuatan mengeksport ikan tanpa suatu permit yang dikeluarkan oleh Jabatan MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Jika sabit kesalahan, pengeksport boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 11(3), akta yang sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 8:48 AM