BERNAMA

BEKAS Pengarah Urusan Malaysia Airlines Bhd (kini dikenali sebagai Malaysia Airlines) Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, 86, meninggal dunia semalam, akibat komplikasi kanser.

Perkara itu disahkan melalui catatan Facebook anak Allahyarham Anita Azrina, yang turut memaklumkan bapanya meninggal dunia pada 11.51 malam.

“Doakan Allah reda, beri keampunan dan rahmati ayahanda Abd Aziz dan dipermudahkan segala urusan seluruh keluarga kita semua,” katanya dalam catatan itu.

Allahyarham yang menghidap kanser esofagus, meninggal dunia di sebuah hospital swasta dan jenazah dibawa ke Masjid Saidina Umar Bukit Damansara pada 9 pagi untuk disolatkan, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

ABDUL Aziz Abdul Rahman. FOTO Ihsan FB NUFAM

Abdul Aziz mula menyertai syarikat penerbangan itu pada April 1971 sebagai Setiausaha Syarikat/ Pengarah Hal Ehwal Undang-Undang MAS, sebelum dilantik sebagai Pengarah Urusan pada 1982 dan bersara pada 1991.

Sementara itu, Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Salam takziah buat seisi keluarga Allahyarham... jasa kamu (Allahyarham) akan dikenang oleh warga pekerja MAS,” menurut catatan Facebook kesatuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 10:06 AM