GAMBAR HIASAN
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


AKIBAT dihimpit krisis hutang yang kronik dan perniagaan makanan diusahakannya bermasalah, seorang peniaga wanita memilih jalan salah apabila mengedar dadah sejak lebih 10 bulan lalu di Kuala Perlis, Kangar.

Bagaimanapun, tindakan peniaga wanita berusia 23 tahun itu tidak bertahan lama selepas ditahan polis dalam satu serbuan ketika dia selesai berniaga di gerai kecilnya, 8 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Superintendan Chan Ngai Ho berkata, pihaknya turut merampas 4.8 gram dadah bernilai kira-kira RM800 yang diisi dalam 14 potongan straw kecil.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai wanita terbabit hasil risikan JSJN Perlis dan bertindak ke gerainya ketika dia selesai menjalankan perniagaan makanannya.

“Seolah menyedari dia akan ditahan, wanita terbabit menangis dan mengaku terpaksa menjadi tokan dadah akibat menanggung kerugian dalam perniagaan selain mempunyai masalah hutang dengan ceti haram.

“Dia juga mengaku bebanan hutangnya semakin kronik apabila terpaksa meminjam dengan beberapa ‘along’ bagi menyelesaikan masalah bebanan hutang perniagaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ngai Ho berkata, wanita terbabit turut mengakui menggunakan dadah itu untuk kegunaan dirinya.

“Dia direman selama lima hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, Chan berkata, seorang lagi pengedar dadah lelaki berusia lingkungan 30-an turut ditahan bersama sejumlah dadah dipercayai syabu.

“Lelaki itu ditahan di sebuah stesen minyak petrol di Behor Temak dalam satu rondaan khas oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) IPK Perlis pada jam 2 pagi tadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 12:02 PM