Nurul Hidayah Bahaudin


SEBANYAK 261 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu Khas Motosikal sempena Tahun Baru Cina 2020 di Plaza Tol Batu, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), di Kuala Lumpur, malam tadi.

Dalam operasi disertai 75 pegawai serta anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) bermula 8 malam, sebanyak 1,144 motosikal diperiksa.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur Ismail Mohd Zawawi berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 87 motosikal didapati terdapat pelbagai kesalahan termasuk lima motosikal yang disita.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, sebanyak 261 notis saman dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh, tiada cermin sisi dan nombor pendaftaran serta ekzos tidak mengikut spesifikasi.

“Malah, seramai tiga lelaki termasuk seorang anggota unit beruniform ditahan selepas didapati positif dadah jenis ganja dan methamphetamine.

“Selain itu, seramai 13 warga asing ditahan termasuk seorang wanita warga India ditahan dalam operasi berkenaan. JAS juga mengeluarkan empat notis atas kesalahan bunyi ekzos bising, manakala polis mengeluarkan tujuh notis dalam operasi sama,” katanya pada sidang media di lokasi operasi.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, setakat ini, pihaknya mengeluarkan satu notis saman terhadap pemandu bas yang didapati menggunakan telefon bimbit ketika memandu menerusi Operasi Penyamaran Sebagai Penumpang Bas sempena Tahun Baru Cina 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 12:27 PM
Operasi Khas Motosikal sempena Tahun Baru Cina, di Tol Batu. FOTO Supian Ahmad
Operasi Khas Motosikal sempena Tahun Baru Cina, di Tol Batu. FOTO Supian Ahmad
Digital NSTP Subscribe