Noor Atiqah Sulaiman

HANYA pemandu kenderaan cermin gelap yang tidak mengikut spesifikasi akan dikenakan saman, sebaliknya pemilik kenderaan terbabit akan diberikan notis untuk membawa kenderaan itu untuk diperiksa pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi tindakan lanjut.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya membuat kajian terperinci dan memperuntukkan maksima dua saman sahaja boleh dikenakan pada satu kenderaan.

“Kita masih meneruskan pemeriksaan untuk cermin gelap, iaitu kadar kegelapan cermin depan sebanyak 70 peratus, cermin sebelah penumpang dan pemandu 50 peratus dan tiada peratusan kegelapan untuk cermin belakang.

“Jika kenderaan itu dipandu oleh orang lain, tiada saman berganda akan dikeluarkan iaitu saman hanya dikeluarkan pada pemandu sahaja. Manakala,pemilik kenderaan pula akan dikeluarkan satu notis Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu notis arah periksa kenderaan.

“Tempoh 10 hari diberikan kepada pemilik untuk membawa kenderaan terbabit untuk diperiksa.

“Sebelum ini, kita berikan saman kepada kedua-duanya atas kesalahan yang sama. Pemandu akan dikenakan saman, dan pemilik kenderaan juga akan menerima saman yang sama tetapi selepas kajian terperinci dijalankan, kita membuat keputusan supaya hanya pemandu akan diberikan saman terbabit,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan JPJ di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, BH melaporkan pemilik kenderaan dengan cermin gelap yang tidak mengikut spesifikasi akan turut dikenakan saman walaupun ketika ditahan penguat kuasa kereta itu dipandu orang lain.

Menurut laporan berkenaan, bagi kesalahan cermin gelap, tiga saman akan dikeluarkan kepada pemandu iaitu cermin sebelah pemandu, cermin sebelah penumpang hadapan dan cermin depan yang menjadikan jumlah saman dikeluarkan sebanyak enam saman iaitu tiga saman kepada pemandu dan tiga saman kepada pemilik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 12:50 PM
ANGGOTA JPJ memeriksa cermin kereta, November lalu. FOTO ihsan JPJ