LAPORAN portal Harian Metro


LELAKI yang ditemui rentung dalam kebakaran empat unit rumah kedai di tingkat tiga sebuah bangunan di Jalan Bukit Ubi, Kuantan, malam tadi, dikenal pasti sebagai M Mankandan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, siasatan mendapati mangsa berusia 28 tahun itu adalah warga India.

“Mangsa berasal dari Chennai, India dan bekerja sebagai pelayan di restoran itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hari ini, portal Harian Metro melaporkan empat unit rumah kedai di tingkat tiga sebuah bangunan di Jalan Bukit Ubi di Kuantan, terbakar.

Berdasarkan laporan, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Pahang menerima panggilan kecemasan 12.53 tengah malam dan tiba di tempat kejadian tiga minit kemudian.

Seramai 46 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan dibantu BBP Indera Mahkota dan Taman Tas dikejarkan ke lokasi kebakaran.

Sebaik operasi pemadaman selesai, anggota bomba dan penyelamat menemui satu mayat rentung di sebuah bilik sewa di tingkat tiga bangunan terbabit.

Kebakaran dapat dikawal 2.04 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada 5.13 pagi.

Berita berkaitan

Lelaki ditemui rentung

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 2:25 PM