ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membantu mangsa yang terbabit di Jalan Jalan Kanowit Julau Durin, Bintagor. FOTO Khalid Latip
Khalid Latip


AKIBAT merempuh kon keselamatan yang diletakkan pada selekoh jalan, seorang lelaki maut selepas gagal mengawal motosikal ditungganginya di Jalan Kanowit Julau Durin, Bintagor, semalam.

Mangsa, Semada Beti, 58, dari Rumah Wong Batu Lima, Jalan KJD Sungai Rayah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik.

Dua anak mangsa berusia 14 dan tujuh tahun yang membonceng motosikal itu bersama mangsa terselamat dan menerima rawatan di Hospital Sarikei.

Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superintendan Sekam Anoi berkata, ketiga-tiga mangsa yang menaiki motosikal Honda itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Julau menghala ke Sibu.

Katanya, mangsa datang dari arah Rumah Wong ingin berjumpa isterinya yang bekerja di Sibu sempena cuti Tahun Baharu Cina nanti.

“Motosikal yang ditunggangi mangsa dan anaknya dipercayai terlanggar kon yang diletakkan pada selekoh jalan berkenaan menyebabkan motosikal gagal dikawal sebelum terbabas.

“Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada kepalanya, manakala dua anaknya dihantar ke Hospital Sarikei untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sekam berkata, hasil siasatan di lokasi kejadian, polis mendapati jalan raya dua hala itu tidak bergaris, berbatu dan gelap tidak berlampu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 2:45 PM