BAYI di Hong Kong antara yang memakai topeng muka bagi mengelakkan terkena jangkitan coronavirus. FOTO Reuters
Redzuan Muharam


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak terbabit secara langsung dalam kemasukan individu yang mempunyai wabak coronavirus ke dalam negara.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Paddy Abd Halim berkata, pihaknya hanya menerima permohonan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menempatkan kakitangan di lapangan terbang bagi membantu menahan pelancong yang didapati membawa makanan mengandungi virus berkenaan.

“Kita ada menerima permohonan daripada JPV dan KKM untuk membantu membendung kemasukan pelancong.

“Mereka (kedua-dua agensi )meminta pegawai kita di lapangan terbang membantu melihat mana-mana pelancong kemungkinan membawa makanan yang mungkin ada virus berkenaan.

“Namun, KKM mempunyai alat pengimbas khas untuk melakukan saringan kesihatan, jadi kastam tidak terbabit secara langsung sebaliknya hanya membantu menahan (pelancong),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-38 di padang Kompleks Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Wabak coronavirus mula dikesan di Wuhan, China sejak Disember tahun lalu.

Sehingga semalam, 205 kematian dilaporkan di seluruh dunia membabitkan empat negara termasuk China seramai 201 orang.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 3:09 PM