FOTO Hiasan
BERNAMA

LELAKI warga Kemboja didenda RM45,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini, atas tuduhan mendiami Hutan Simpan Endau-Rompin secara haram, bulan lalu.

Hakim Siti Aminah Ghazali memerintahkan Bol Cheat, 43, menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal menjelaskan denda.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Komparment 1 Hutan Simpan Taman Negeri, Mukim Keratong dan Endau dalam daerah Rompin pada 3 pagi, 29 Dis lalu.

Perbuatan itu menjadi kesalahan mengikut Seksyen 32(1) Akta Perhutanan Negara 1984.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 32(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh menerusi jurubahasa Kemboja merayu supaya hukuman terhadapnya diringankan atas alasan sudah berkahwin dan mempunyai dua anak kecil di kampung halaman.

Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Afidatul Azwa Kamarulanuar bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh berisiko mendatangkan kerugian kepada negara.

“Kawasan yang diceroboh tertuduh adalah hutan simpan dan larangan individu memasuki kawasan itu dibuat bagi melindungi hasil hutan yang ada di dalamnya,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditemui di tepi sungai kerana dipercayai terjatuh semasa melarikan diri selepas tapak perkhemahannya di hutan itu diserbu kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Tertuduh gagal mengemukakan dokumen kebenaran berada dalam Hutan Simpan Kekal walaupun dipercayai berada di situ untuk tempoh tertentu berdasarkan penemuan pelbagai alatan perkhemahan dalam hutan seperti bekalan makanan, parang, kapak dan gergaji.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 4:02 PM