MOHD Sham Mohd Noor, 39, meneliti kerja pembinaan tembok penahan ombak di pantai Kampung Hilir, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah.


SELEPAS dibelenggu kebimbangan apabila kediaman diancam hakisan pantai, 20 penduduk daripada empat keluarga di pantai Kampung Hilir, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, boleh menarik nafas lega apabila tembok penahan ombak dibina.

Mereka yang selama ini hidup dalam keresahan berikutan hakisan pantai semakin meluas dan mengancam kediaman masing-masing, mengucapkan kesyukuran atas keprihatinan kerajaan negeri menyediakan peruntukan bagi membina tembok penahan ombak dan benteng pemecah ombak yang dimulakan Isnin lalu.

Penduduk, Mohd Sham Mohd Noor, 39, berkata sebelum ini dia dan tiga keluarga lain tidak tenang selagi tembok dan benteng berkenaan tidak dibina berikutan hakisan pantai semakin serius sejak lima bulan lalu.

“Sejak September lalu, hakisan pantai merebak ke dapur rumah dan pondok pangkalan nelayan berhampiran belakang rumah kami serta sedikit demi sedikit pantai semakin hampir dengan kediaman kami.

“Kami mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (JAPERUN) Kuala Linggi dan berikutan itu, Ketua Menteri, Adly Zahari turun padang meninjau keadaan hakisan di kampung ini pada November lalu," katanya ketika ditemui, hari ini.

KERJA membina benteng pemecah ombak giat dijalankan di pantai Kampung Hilir, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah. FOTO Hassan Omar

Dia berkata, hakisan pantai yang semakin serius hujung tahun lalu diburukkan lagi dengan angin selatan yang bertiup kencang dan menyebabkan ombak besar melanda pantai, sekali gus mengakibatkan pantai sebelum ini luas, berubah menjadi semakin sempit

Menurutnya, fenomena air pasang besar pada awal Disember lalu turut memburukkan keadaan hingga menyebabkan pokok kelapa dan beberapa pokok lain di tepi pantai tumbang, tetapi mereka bernasib baik kerana ia tumbang ke arah laut.

“Alhamdulillah, Allah menyelamatkan kami daripada ancaman hakisan pantai dan kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri yang memberikan peruntukan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi membina tembok dan benteng itu," katanya.

Sementara itu, Pengarah JPS Melaka, Abdul Hakim Hamzah yang dihubungi berkata, kerja berkenaan membabitkan pembinaan tembok penahan ombak dan benteng pemecah ombak melalui konsep lapis lindung atau 'rock revetment' yang mampu menghalang hakisan pantai untuk jangka panjang.

Beliau berkata, ia adalah sebahagian daripada kerja pembaikan akibat hakisan pantai lain di Kampung Sungai Kertah di Pengkalan Balak dan Kampung Tanjung Dahan di Kuala Linggi yang keseluruhannya bernilai RM2.64 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 4:13 PM