KEADAAN ladang nanas yang dirosakkan gajah. FOTO Roselan Ab Malek.
Roselan Ab Malek


KEBUN sawit dan nanas milik seorang penduduk di Kampong Gol, Tembeling Tengah dekat Jerantut, dimusnahkan gajah liar, malam tadi.

Husin Daud, 68, berkata, tiga gajah dipercayai masuk kawasan kebun seluas 1.2 hektar itu berdasarkan kesan tapak kaki dan najisnya.

“Kelapa sawit dan nanas baru ditanam pertengahan tahun, tetapi ia musnah apabila dimakan atau dicabut haiwan itu.

“Saya menanam sebanyak 16,000 pokok nanas di celah-celah pokok kelapa sawit yang benihnya dimohon dari Lembaga Nanas Negara,” katanya.

Katanya, ancaman gajah liar yang dipercayai datang dari hutan Taman Negara berhampiran kampung itu berlaku sejak dua bulan lalu.

Husin berkata, kehadiran beberapa gajah yang sering memasuki kampung sejak awal November lalu membimbangkan penduduk.

Katanya, biasanya ia akan makan dan merosakkan tanaman penduduk menyebabkan mereka mengalami kerugian.

Seorang lagi penduduk Jamaluddin Awang Mahmud, 49 berkata, sebelum ini gajah hanya memusnahkan tanaman, tetapi kebelakangan ini mula berani menghampiri rumah penduduk.

“Kami bimbang dengan keselamatan diri. Kini penduduk terpaksa menggunakan mercun untuk menghalau haiwan ini,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini Jabatan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) menyumbangkan lampu khas penghalau gajah kepada penduduk, namun hanya bertahan dua minggu sahaja.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin ketika dihubungi berkata, beliau sudah menghubungi PERHILITAN untuk memaklumkan masalah itu.

“PERHILITAN sudah memaklumkannya kepada Unit Tangkapan Gajah Pahang dan Pusat Tangkapan dan Pemindahan Gajah, Kuala Gandah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 4:30 PM