Jambatan angkat atau ‘drawbridge’ di Kuala Terengganu. Foto NSTP
Baharom Bakar

JAMBATAN angkat atau ‘drawbridge’ di Kuala Terengganu akan ditutup kepada semua lalu lintas selama 10 jam mulai 8 pagi esok.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan penutupan jambatan itu terpaksa dilakukan bagi memudahkan kerja penyelenggaraan.

Bagaimanapun, katanya, kerja penyelenggaraan itu hanya membabitkan penutupan jambatan dan galerinya tidak ditutup.

“Terengganu Incorporated Sdn Bhd yang dilantik mengendalikan jambatan ikonik itu sudah diminta memaklumkan penutupan melalui papan tanda elektronik dan pemasangan papan tanda sebagai pemakluman awal kepada pengguna jalan raya,” katanya melalui kenyataan diedarkan melalui Facebook hari ini.

Jambatan yang dibina dengan kos RM248 juta menjadi mercu tanda baharu dan menjadi yang pertama seumpamanya di negara ini dan Asia Tenggara.

Ia mula dibuka kepada semua lalu lintas sejak 1 Ogos lalu.

Jambatan sepanjang 638 meter dengan ketinggian 12.5 meter dari aras laut yang menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir itu adalah antara komponen dalam pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 11:09 PM