PENGARAH Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Mohammad Abdullah. FOTO Muhd Asyraf Sawal


TINDAKAN seorang pemandu bas ekspres memandu kenderaan di lorong laju dan tidak memakai kasut mengundang padah apabila dikompaun oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) Pahang, semalam.

Pemandu bas ekspres berusia 28 tahun itu antara yang disaman JPJ Pahang selepas memeriksa 2,966 kenderaan sempena Ops Tahun Baharu Cina yang bermula 18 Januari lalu

Daripada keseluruhan pemeriksaan itu 578 kenderaan dikenakan tindakan dengan 1,230 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, termasuk memandu melebihi had laju dan memotong di garisan berkembar.

Pengarah JPJ Pahang, Mohammad Abdullah, berkata pemandu bas ekspres yang disaman itu dikenakan kompaun RM450 kerana dikesan melakukan dua kesalahan terbabit.

Katanya, tindakan kompaun itu dikenakan terhadap pemandu terbabit ketika bas ekspres dalam perjalanan dari Kuantan ke Pulau Pinang di Batu 12, Jalan Gambang di Kuantan, pada 9.10 pagi, semalam.

“Kita juga mengeluarkan notis terhadap pemilik syarikat bas ekspres kerana gagal mengemukakan lesen pengendali dan permit perkhidmatan.

“Berdasarkan pemantauan dalam Ops Tahun Baharu Cina, kita dapati masih ada pemandu bas ekspres yang gagal mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 3:48 PM