FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


ALIRAN trafik tinggi di beberapa lebuh raya berlaku berikutan warga kota pulang ke kampung berikutan cuti sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melalui Twitter memaklumkan, aliran trafik di beberapa lebuh raya utama mulai perlahan sejak pagi tadi.

Antara kawasan yang mengalami kesesakan adalah Lebuhraya Utara Selatan di kedua-dua arah dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK).

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melalui Twitternya melaporkan, trafik perlahan di Lebuhraya Utara Selatan arah utara dari Rawang, Tanjung Malim, Slim River dan Tapah.

Begitu juga arah selatan dengan trafik dilaporkan perlahan di Plaza Tol Sungai Besi, Nilai, Skudai dan hentian Kulai Utara.

Selain itu, KLK melaporkan, trafik perlahan di Plaza Tol Gombak menghala ke pantai timur.

Terdahulu, pengguna lebuh raya PLUS berpeluang menikmati diskaun tol 20 peratus pada 25 Januari, sempena Tahun Baharu Cina.

Diskaun tol itu diberikan kepada pengguna kenderaan persendirian yang menggunakan Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Jambatan Pulau Pinang serta Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Diskaun 10 peratus juga diberikan kepada pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR).

Maklumat terkini boleh diperoleh menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan Twitter @plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta twitternya @LLMinfotrafik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 4:14 PM