Noor Azilah dan anaknya mengangkat tong yang dibeli sebagai persiapan catuan air di Melaka. FOTO Hassan Omar


PENDUDUK Melaka mula membeli tong menyimpan air bagi menghadapi catuan air berjadual yang bakal dimulakan di seluruh negeri itu, Rabu depan.

Mereka terpaksa berbelanja antara RM50 hingga RM200 semata-mata untuk mendapatkan tong yang mampu mengisi antara 10 hingga 50 liter air berikutan bekalan air akan mula dicatu pada 10 pagi, 29 Januari ini.

Guru, Noor Azilah Mohamad, 48, berkata, dia terpaksa membelanjakan RM70 untuk mendapatkan lima tong dengan setiap satu mampu menakung 10 liter air di sebuah kedai barangan dapur di pekan Masjid Tanah, Alor Gajah hari ini.

Katanya, setakat ini Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB) masih belum mengeluarkan jadual catuan air, namun jadual catuan yang bakal dimulakan pada 10 pagi, 29 Januari ini sudah tular di media sosial.

“Menurut jadual itu, satu hari ada bekalan air dan satu hari tiada bekalan mulai 29 Januari hingga 9 Februari depan.

“Bagaimanapun, bekalan air akan ada pada setiap hari Sabtu dan Ahad, iaitu pada 1, 2, 8 dan 9 Februari depan,” katanya.

Sehubungan itu, dia sudah mengingatkan empat anaknya berusia antara 10 hingga 22 tahun supaya sentiasa berjimat-cermat menggunakan air bagi memastikan air yang ditadah dalam tong berkenaan mampu digunakan sepanjang tempoh catuan dilaksanakan.

Sementara itu, tinjauan di Kampung Bukit Darat, Tanjung Kling mendapati kebanyakan penduduk sudah mula membersihkan semula telaga yang pernah digunakan mereka ketika menghadapi gangguan bekalan air pada September lalu.

Syazwan Abdul Shukor, 25, berkata dia berbuat demikian semalam sejurus Ketua Menteri Adly Zahari mengumumkan catuan bakal dilaksanakan kerajaan negeri.

Seorang lagi penduduk, Jaafar Jantan, 48, berkata, dia sudah membeli bekasl yang mampu menampung empat liter air untuk mengangkut air telaga ke kediamannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 4:29 PM