KEADAAN kebakaran di tempat pelupusan sampah Semeling ketika musim panas. FOTO IHSAN BOMBA
KEADAAN kebakaran di tempat pelupusan sampah Semeling ketika musim panas. FOTO IHSAN BOMBA
Nor Farhani Che Ad


LEBIH 100 keluarga sekitar Semeling, Sungai Petani mendakwa berdepan kesulitan akibat kesan kebakaran di tapak pelupusan sampah berdekatan sejak Isnin lalu.

Penduduk mendakwa kebakaran itu mengakibatkan kawasan berkenaan diselubungi asap tebal hingga mengganggu rutin harian.

Antara kawasan perumahan terjejas ialah Taman Semeling Indah, Taman Seri Semeling, Taman Universiti dan Kampung Kurnia Jaya.

Peniaga, Syarifah Hashim, 54, berkata perniagaannya merosot apabila gerai kuih muihnya kurang dikunjungi pelanggan sejak kejadian berlaku.

“Kebakaran itu menyebabkan timbul rasa kurang selesa dalam kalangan pelanggan yang datang ke gerai saya.

“Ada pelanggan terpaksa menutup hidung kerana tidak tahan dengan bau asap yang kuat,” katanya ketika ditemui, di sini.

Penduduk Tan Wei Kiang, 24, berkata dia bimbang situasi itu akan berlarutan sehingga esok ketika mereka sekeluarga meraikan Tahun Baharu Cina di rumah mereka di Taman Semeling Indah, di sini.

“Sejak kejadian (kebakaran) berlaku, kami terpaksa menutup semua pintu dan tingkap bagi mengelakkan asap masuk ke dalam rumah.

“Namun, saya bimbang situasi akan memberi kesan kepada tetamu yang datang berkunjung ke rumah kami terutama kanak-kanak dan warga emas,” katanya.

Sebelum ini, portal berita Harian Metro melaporkan kira-kira 1.2 hektar daripada lebih empat hektar keluasan tapak pelupusan sampah itu terbakar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 4:34 PM