Redzuan Muharam


MESKIPUN mempunyai peluang cerah menyambung pengajian peringkat sarjana muda, Nurul A’in Azman, 24, memilih mencari rezeki dengan menjual burger dan roti ‘john’ di gerai selepas tamat diploma.

Anak keempat daripada lima beradik itu tekad berniaga sendiri kerana perlu menjaga ibu, Solehah Abdul Bab, 57, yang mempunyai masalah penglihatan dan kakak, Nurul Azwani, 35, penghidap autisme masalah pembelajaran.

Sekalipun terpaksa melupakan impiannya untuk bergelar jurutera, Nurul A’in tidak menyesal sebaliknya bersyukur kerana pekerjaan kini memberinya kesempatan berbakti kepada ahli keluarga.

Menurutnya, ia juga memberi peluang kepadanya meneruskan perniagaan arwah bapanya, Azman Mohamed Nor yang meninggal dunia pada Februari 2018 akibat jangkitan kuman.

“Sudah lama arwah ayah mengusahakan perniagaan itu dan rasa rugi jika tidak meneruskannya selepas dia tiada.

“Jadi, saya ambil keputusan mengambil alih perniagaannya dan Alhamdulillah, sambutan amat baik memandangkan arwah ayah sudah mempunyai pelanggan tetap.

“Sedih juga pada mulanya apabila ada yang bertanya mengapa tidak menyambung pengajian ke peringkat sarjana muda tetapi saya sudah lali dengan pertanyaan itu,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Melayu Sungai Sering di Ampang.

Berkongsi rutin hariannya, Nurul A’in berkata, perniagaannya bermula 5.30 petang hingga 12 tengah malam.

NURUL A’in memilih mencari rezeki dengan menjual burger dan roti ‘john’ peninggalan arwah bapanya. FOTO Ihsan Nurul A’in Azman

Selepas solat Asar, dia sudah bersiap untuk membuka gerai yang terletak di hadapan sebuah kedai serbaneka di Bukit Antarabangsa.

Katanya, dia tidak berseorangan tetapi dibantu pekerja, namun tetap tidak menang tangan untuk mengambil pesanan pelanggan.

“Kerja saya bermula pada sebelah petang, jadi pagi digunakan untuk menguruskan kakak dan ada kalanya menghantar ibu menjalani pemeriksaan di hospital.

“Setiap dua hari, saya akan membeli bekalan bahan niaga dan begitulah rutin saya sejak tamat pengajian.

“Walaupun tiada gaji bulanan tetap, saya seronok kerana belum tentu dapat membahagikan masa, terutama untuk menjaga ibu dan kakak sekiranya tidak bekerja sendiri,” katanya.

Berhubung inisiatifnya mempromosikan perniagaan di Twitter, Nurul A’in berkata, apa yang dilakukannya itu adalah cubaan menarik pelanggan ke gerainya.

“Saya memuat naik hantaran berkenaan untuk berkongsi perjalanan sebagai graduan yang akhirnya menjadi peniaga di gerai burger.

“Tak sangka pula, banyak maklum balas positif diterima dan saya hargai sokongan mereka (warganet).

“Buat masa ini, saya akan terus berniaga kerana dengannya, saya dapat menimba pengalaman dalam perniagaan bermula dari bawah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 4:50 PM