KETUA Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop (tengah) pada sidang media mengenai kejayaan polis menumpaskan sindiket judi dalam talian, di Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
KETUA Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop (tengah) pada sidang media mengenai kejayaan polis menumpaskan sindiket judi dalam talian, di Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin

SATU sindiket judi atas talian yang beroperasi di tiga rumah berasingan di Aviva Green Seremban 2, Negeri Sembilan, sejak awal bulan ini tumpas selepas diserbu polis, semalam.

Dalam operasi jam 4.30 petang semalam, sepasukan pegawai dan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sembilan, menyerbu kediaman itu dan menahan 34 warga China membabitkan 25 lelaki dan sembilan perempuan berusia 25 hingga 32 tahun.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata, polis turut merampas 17 komputer, 76 unit telefon bimbit, lima pasport negara China, sebuah kenderaan model Toyota Vellfire serta pelbagai peralatan elektronik.

Beliau berkata, pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Siber, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman melakukan siasatan terhadap komputer digunakan sindiket itu.

“Siasatan mendapati wujud kegiatan judi atas talian membabitkan pelanggan warga China.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata lokasi serbuan adalah rumah jenis teres dua tingkat, berpagar dan mempunyai pengawal keselamatan.

Beliau berkata, ketiga-tiga rumah itu disewa dengan bayaran bulanan sebanyak RM4,500 mulai 3 Januari lalu dan dipasang kemudahan wifi dari sekitar dua minggu lalu.

Katanya, kenderaan yang dirampas didaftarkan atas nama syarikat yang menjalankan khidmat menyewa kenderaan.

"Siasatan forensik mendapati suspek menggunakan aplikasi WhatsApp dan QQ untuk menerima pertaruhan dari kaki judi di China.

"Ini dikesan berdasarkan nombor telefon digunakan dalam aplikasi berkenaan," katanya.

Menurutnya, sindiket itu baharu memulakan operasi dan ini adalah kes pertama membabitkan judi atas talian yang dikendalikan warga asing di negeri ini.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu kesalahan melanggar syarat pas lawatan dan juga tiada dokumen perjalanan yang sah.

"Bagaimanapun, polis percaya terdapat juga kesalahan dilakukan mengikut Akta Rumah Perjudian Terbuka, namun siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisoner Che Zakaria Othman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 6:04 PM