MUHAMMAD Hazman Irfan Mohd Nizam ceria menerima hadiah juara mencipta tanglung. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


“SAYA belajar dari laman sosial youtube,” ujar Muhammad Hazman Irfan bin Mohd Nizam, 11, pemenang pertandingan mencipta tanglung di salah sebuah pasar raya di Ayer Keroh, Melaka.

Pelajar yang juga pengawas Sekolah Kebangsaan Selandar, Jasin itu berkata, dorongan ibu bapanya Mohd Nizam Maajin ,38 dan Siti Noraini Abu Bakar, 38 memberi impak kejayaan buat dirinya.

Dia berkata, minat membantu ibunya yang biasa menerima tempahan membuat hiasan dan cenderahati menjadi pendorong dia turut sama menghasilkan kraftangan berkenaan.

“Sememangnya agak rumit dan sukar pada peringkat permulaan. Namun selepas melihat hasilnya ketika berlatih di rumah menyebabkan saya tertarik untuk menyertai pertandingan ini.

“Tidak sangka saya menang berikutan ramai peserta yang turut menghasilkan tanglung unik dan menarik,” katanya yang memenangi kategori remaja semalam.

Sementara itu, Nizam yang juga meraih tempat ketiga kategori dewasa berkata, mereka sekeluarga mengekalkan konsep sebenar penghasilan tanglung dengan mempelajari teknik pembuatannya melalui internet selain mengutip pengalaman dengan rakan berbangsa Cina.

Baginya, mencuba dahulu di rumah sebelum bertanding memberi impak pada menampilkan rekaan sebenar tanglung dihasilkan masyarakat Cina.

Malah isterinya Noraini juga muncul juara kategori dewasa sekaligus membuktikan mereka mampu menghasil salah satu bahan budaya dan tradisi masyarakat Cina selain memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 6:31 PM