AHMAD FUAD AHMAD SHAHIMI
Amirul Aiman Hamsuddin


SEMUA kenderaan Kelas Satu yang melalui semua Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) akan menikmati diskaun tol 10 peratus dalam tempoh 24 jam sempena sambutan Tahun Baru Cina, Sabtu ini.

Ketua Pegawai Operasi LATAR, Ahmad Fuad Ahmad Shahimi berkata, diskaun yang akan bermula tengah malam ini sehingga 11.59 malam esok sebagai penghargaan kepada pengguna, selain memudahkan urusan perjalanan pulang ke kampung halaman.

Beliau berkata, pemberian diskaun itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat kepada pengguna LATAR.

“Tahun lalu, kita memberi diskaun kepada pengguna kenderaan semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Krismas dan ini merupakan pemberian diskaun pertama untuk tahun ini,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Ahmad Fuad ditemui pada sidang media semasa Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Ijok, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai program itu, Ahmad Fuad berkata, program kempen keselamatan itu diadakan saban tahun dengan kerjasama agensi kerajaan.

“Menerusi kempen ini, kita memberikan 300 cenderahati kepada pengguna yang pulang ke kampung halaman menyambut Tahun Baru Cina,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 6:48 PM