SHAMSUL AMAR RAMLI
Amirul Aiman Hamsuddin

PEMANDU kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger yang merempuh penunggang motosikal sehingga maut di Jalan Kebun, semalam, direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pemandu yang juga peniaga ikan berusia 37 tahun itu direman bermula hari ini hingga 27 Januari.

“Untuk makluman, perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret S. Nisha di Mahkamah Klang, hari ini.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 42 APJ 1987 serta Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dan kecederaan,” katanya menerusi kenyataan media.

Dalam pada itu, Shamsul Amar berkata, sampel ujian dadah dan alkohol pemandu pacuan empat roda itu sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis dan pihaknya masih menunggu hasil laporan.

“Sekiranya keputusan positif ( dadah atau alkohol), suspek akan dituduh mengikut Seksyen 44 APJ 1987 iaitu memandu semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah.

“Jika sabit kesalahan, ia membawa hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000,” katanya.

Sehubungan itu, Shamsul Amar mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi bagi menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33719999 atau balai polis berhampiran.

Harian Metro semalam melaporkan penunggang motosikal Nuovo LC, Muhammad Zulfakkar Borhan, 29, maut selepas dirempuh Ford Ranger yang datang dari arah bertentangan.

Turut cedera dalam kemalangan itu, penunggang dan pembonceng motosikal Honda EX5, Muhammad Hazid Mohd Kamil, 27 dan Muhammad Anas Mokti, 27.

Berita berkaitan:

  • Dibelasah rempuh mati penunggang motosikal
  • Esok pagi baru reman pemandu 'gila'
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 7:17 PM