PELARIAN di Kem Inma' di Akkar menerima sumbangan minyak tanah dan pek makanan daripada Aman Palestin. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


HIDUP sebagai pelarian berdepan 1001 dugaan, bergelut dengan emosi dan kesengsaraan saban hari apatah lagi mengenangkan masa depan diri dan keluarga tercinta yang tidak tahu di mana noktahnya.

Hari ke-13 penulis di Akkar, Lubnan, membawa pertemuan bersama bekas jurutera di syarikat minyak di Syria kira-kira lima tahun lalu yang kini hidup sebagai pelarian di kem.

Bagi Muhammad Yahaya Al Yassi dia mengambil keputusan melarikan diri dari Syria selepas menjadi antara individu yang dikehendaki tentera Bashar.

“Saya sendiri tidak tahu mengapa saya dikehendaki namun sebab paling munasabah adalah kerana saya beragama Islam dan Sunni.

“Memikirkan keselamatan diri dan keluarga, saya tekad hidup sebagai pelarian walaupun terpaksa meninggalkan kerjaya dan kemewahan hidup sebelum ini,” katanya.

Penulis juga turut diingatkan untuk tidak mengambil gambarnya kerana masih lagi dalam senarai orang dikehendaki oleh temtera Bashar.

Menceritakan lanjut, Yassin berkata, selain bimbang kerana tersenarai dalam individu dikehendaki, dia melarikan diri selepas lapan daripada 10 sepupu terdekatnya dibunuh.

“Bayangkan semua daripada mereka meninggal dunia dalam keadaan kejam, saya tidak mahu menerima nasib yang sama walaupun saya sedar hidup sebagai pelarian sungguh mencabar.

“Kini, semuanya berubah. Saya sekeluarga juga pelarian yang lain hidup dalam keadaan serba kekurangan, kami mengutamakan soal makanan kerana ia adalah keperluan bagi meneruskan hidup.

“Apabila tiba musim sejuk dan bersalji menjadikan keadaan semakin sukar, kami langsung tidak mempunyai kelengkapan apatah lagi pakaian sesuai. Namun saya sering mengingatkan diri supaya tetap bersyukur kerana masih mampu meneruskan hidup,” katanya.

Menurutnya, dia pernah bekerja di Lubnan namun tidak dibayar gaji dan sering dibuli oleh rakyat tempatan.

“Anda bayangkan kerja saya sebagai seorang jurutera petroleum sepatutnya bergaji AS$1,000 (RM4,065) namun tidak dibayar selepas dua bulan bekerja.

“Saya kini hanya mengharapkan anak lelaki saya yang bekerja tidak tetap kerana tidak mendapat kebenaran untuk bekerja di sini.

“InsyaAllah satu hari nanti saya akan tinggalkan bumi Lubnan dan akan pulang ke Syria,” katanya.

Rakyat Malaysia yang prihatin dengan nasib pelarian Syria dan Palestin boleh terus menyumbang kepada Aman Palestin menerusi akaun Maybank 562263010787.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari www.amanpalestin.net.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 9:34 PM