ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran Kia Sorento di LPT2 berhampiran susur keluar Kuala Dungun. FOTO ihsan Riza Hadafi Zakaria


SEBUAH keluarga berdepan detik cemas selepas kenderaan utilti sukan (SUV) Kia Sorento dinaiki terbakar di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Kuala Dungun, tengah hari tadi.

Kejadian jam 12 tengah hari itu menyebabkan pemilik SUV itu, Riza Hadafi Zakaria, 42, kerugian hampir RM150,000 selepas kenderaan musnah terbakar.

Riza Hadafi yang berasal dari Gombak, Selangor, berkata sebelum kejadian, dia melihat cermin pandang belakang dan ternampak banyak asap disusuli dengan bau hangit.

"Saya segera memberhentikan kenderaan di tepi jalan dan membuka bonet hadapan untuk melihat keadaan enjin," katanya.

Menurutnya, dia terkejut apabila mendapati ada api di bahagian bawah enjin.

Katanya, bimbang kenderaan meletup berikutan api semakin besar, dia mengarahkan isteri dan tiga anak lelaki berusia antara 13 hingga lapan tahun menyelamatkan diri.

"Ketika itu keadaan semakin cemas apabila saya tidak dapat menghubungi bomba apabila telefon bimbit saya buat hal.

"Saya berterima kasih kepada dua lelaki yang menaiki kereta kerana berhenti memberi pertolongan termasuk menghubungi bomba," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Riza berkata, dia dalam perjalanan pulang ke rumah mentua di Kampung Pulau Duyong untuk menghabiskan cuti perayaan Tahun Baru Cina sehingga Isnin ini.

"Saya keluar rumah jam 7.30 pagi dan sepanjang perjalanan kereta tidak menghadapi masalah dan dijaga dengan baik.

"Saya tidak pasti api itu berpunca dari mana. Saya reda dengan apa yang terjadi dan bersyukur kerana tidak berlaku kejadian buruk kepada saya, isteri dan anak-anak," katanya.

Katanya, dia pulang ke rumah mentua bersama iparnya yang tinggal di Bukit Besi selepas selesai membuat laporan di Balai Polis Paka, Dungun.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paka, Mohd Sapawi Awang berkata, sebuah jentera bomba bersama lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 12.13 tengahari.

"Ketika tiba hampir keseluruhan kenderaan hangus dan kerja memadamkan api dilakukan sehingga selesai kira-kira setengah jam kemudian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 11:48 PM