Anggota JBPM Lundu memeriksa keadaan mayat mangsa yang dipercayai dibaham buaya. FOTO Melvin Joni
Anggota JBPM Lundu memeriksa keadaan mayat mangsa yang dipercayai dibaham buaya. FOTO Melvin Joni
Oleh Melvin Joni


MAYAT seorang lelaki ditemui dalam keadaan menyayat hati dipercayai diserang buaya dalam kejadian di Sungai Ulu Lobak, di Lundu sekitar jam 7 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu Putra Ila berkata, mayat mangsa dikenali sebagai Fairus Latip, 37, ditemui orang awam dalam keadaan tidak sempurna.

Katanya, mangsa dilaporkan hilang ketika keluar menangkap ketam di anak sungai Chupin, di Lundu pada pagi Khamis.

"Operasi pencarian pada hari pertama dilakukan BBP Lundu berjaya menjumpai alat menangkap ketam milik mangsa namun dia gagal dikesan.

"Kami dimaklumkan penemuan mayat oleh orang kampung pada 7 pagi ini di Sungai Lobak Ulu yang jarak perjalan ke lokasi kejadian mengambil masa kira-kira 30 minit melalui sungai.

"Hasil pemeriksaan mendapati mangsa dipercayai diserang buaya ketika menangkap ketam berikutan anggota badan hanya tinggal kepala, sebahagian badan dan kaki kiri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Putra berkata, susulan penemuan mayat mangsa, operasi pencarian ditamatkan.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang pada 11.23 malam Khamis lalu oleh isterinya kerana gagal dihubungi selepas keluar menangkap ketam sekitar 11.30 pagi pada hari berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 1:23 PM