Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SENYUMAN manis seorang wanita berkerusi roda menyambut kedatangan penulis bersama kumpulan sukarelawan yang mengunjungi Kem Al Rahmah di Lembah Beqaa, Lubnan, semalam.

Di sebalik senyuman yang ditunjukkannya, penulis dapat rasai kedukaan dan kesengsaraan ditanggungnya selepas terpaksa meninggalkan rumah dan bergelar pelarian.

Dia yang sentiasa berseorangan itu menggunakan kerusi roda elektrik untuk mengambil bantuan yang diberikan Aman Palestin.

Rajab Ibrahim, 45, yang hidup sebatang kara di kem berkenaan sejak empat tahun lalu berkata, dia menjadi pelarian pada tahun 2016 bersama adiknya selepas kematian suami yang terbunuh dalam peperangan di Damsyik.

“Ketika itu adik yang menolak saya menggunakan kerusi roda sebelum tiba di Lembah Beqaa. Kami berlindung di Kem Al-Awdah.

“Bagaimanapun, dua tahun lalu adik saya kembali ke Syria meninggalkan saya keseorangan. Saya berpindah ke kem baru ini (Kem Al Rahmah),” katanya.

Menurutnya, dia yang lumpuh sejak kecil itu tidak mampu bekerja dan hanya mengharapkan wang bantuan diberikan Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) sebanyak USD27 (RM108).

laporan portal Harian Metro.

“Pernah satu ketika saya tidak mempunyai makanan dan terpaksa berhutang makanan dengan jiran namun saya bersyukur kerana kini sudah ramai pihak yang tampil memberikan bantuan.

“Saya tidak boleh pulang ke Syria kerana rumah yang didiami di sana sudah hancur selepas dibom tentera Bashar pada tahun 2015,” katanya.

Penulis yang bertemu Rajab semalam mengikuti misi sukarelawan Lubnan bersama Aman Palestin bagi menyerahkan bantuan musim sejuk kepada kira-kira 103 kem di Lembah Beqaa dan Aarsal.

Selain menyerahkan sumbangan, misi berkenaan turut menjalankan aktiviti khidmat masyarakat seperti membaiki khemah, membersihkan persekitaran kem dan membantu urusan pentadbiran.

Rakyat Malaysia yang prihatin dengan nasib pelarian Syria dan Palestin boleh terus menyumbang kepada Aman Palestin menerusi akaun Maybank 562263010787. Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari www.amanpalestin.net.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 2:14 PM