Kemalangan maut yang berlaku di Miri. FOTO Erika George
Kemalangan maut yang berlaku di Miri. FOTO Erika George
Muhaamad Hafis Nawawi


SEBANYAK 97 kemalangan maut direkodkan di seluruh negara sepanjang Op Selamat 16, sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang masuk hari ketujuh, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, daripada keseluruhan kematian, penunggang dan pembonceng motosikal masih menyumbang jumlah tertinggi dengan 71 kematian.

“Sebanyak 11,788 kemalangan dicatatkan sepanjang tujuh hari Op Selamat kali ini membabitkan 17,901 kenderaan manakala, 64 parah dan 111 lagi cedera.

“Selangor masih menjadi negeri tertinggi mencatatkan jumlah kemalangan dengan 3,611 kemalangan dilaporkan, diikuti Johor (1,824), Kuala Lumpur (1,432), Pulau Pinang (978) dan Perak (834),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Azisman berkata, Selangor juga direkokan negeri yang mencatat jumlah kemalangan maut tertinggi dengan 22 kes diikuti Sarawak (14), Johor (12), Kelantan (11) dan Kedah (10).

Menurutnya, sebanyak 178,906 saman dikeluarkan dalam tempoh tujuh hari sejak Op Selamat 16 dimulakan pada 18 Januari lalu dengan 110,872 saman membabitkan enam kesalahan utama kesalahan jalan raya.

Untuk rekod, Op Selamat 16 akan berkuat kuasa selama 15 hari bermula 18 Januari hingga 1 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 4:15 PM
Digital NSTP Subscribe