Marzuki hadir pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina. FOTO Danial Saad
Siti Azila Alias


Rakyat Malaysia yang menetap di Wuhan, China dilaporkan selamat dari wabak koronavirus 2019-nCoV.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berkata, beliau tidak mempunyai bilangan tepat rakyat Malaysia yang berada di sana namun, memaklumkan jumlahnya tidak sampai 100 orang.

Katanya, kebanyakan mereka terdiri daripada pelajar dan ekspatriat.

“Setakat pagi ini, saya dimaklumkan bahawa terdapat 1,300 orang disyaki atau disahkan terkena wabak itu dengan jumlah kematian turut meningkat daripada 21 ke 46 orang.

“Saya berharap rakyat Malaysia yang berada di sana supaya segera menghubungi pihak kedutaan. Namun, dimaklumkan rakyat kita di Wuhan tidak ramai. Saya tidak ada jumlah tepat tetapi difahamkan tidak sampai 100 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Menteri Kewangan Lim Guan Eng bersama Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang di Pusat Konvensyen Setia SPICE, di Georgetown, hari ini.

Marzuki berkata, kedutaan membuka pusat operasi 24 jam bagi memantau perkembangan semasa serta membantu rakyat Malaysia sekiranya ditimpa sebarang masalah berkaitan.

Katanya, setakat ini tiada larangan dikeluarkan kerajaan kepada rakyat negara ini untuk mengunjungi republik itu.

“Kita tak larang, tapi kalau boleh batalkan hasrat ke sana bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Khamis lalu, syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia dan Malindo Air mengumumkan menggantung semua penerbangan ke Wuhan, China susulan penularan wabak koronavirus di bandar berkenaan.

AirAsia, dalam satu kenyataan, memaklumkan semua penerbangan antara Wuhan ke Kota Kinabalu, Bangkok dan Phuket digantung.

Malindo Air pula menggantung serta-merta penerbangan antarabangsanya di antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe, China.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan, tiga kes jangkitan koronavirus 2019-nCoV di negara ini, membabitkan pelancong China yang juga ahli keluarga kes positif yang dikesan di Singapura.

Ketiga-tiganya kini dalam kuarantin dan sedang menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh terdiri daripada isteri dan dua cucu kepada lelaki berusia 66 tahun, yang menjadi kes pertama di negara jiran itu.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 4:46 PM