Dadah yang dirampas daripada seorang lelaki di pekarangan Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah di Melaka semalam. Foto Ihsan PDRM

POLIS terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta dipandu seorang lelaki dipercayai pengedar dadah yang melanggar pegawai polis ketika cuba ditahan di pekarangan Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah di Melaka semalam.

Tembakan itu menyebabkan lelaki berusia 46 tahun terpaksa berhenti sebelum mencuba melarikan diri dengan memanjat pagar klinik.

Bagaimanapun, cubaannya tidak berjaya apabila ditahan pegawai dan anggota polis dalam kejadian pada 3.45 petang itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah dan beberapa anggota mengesan suspek memandu kereta dalam keadaan mencurigakan dalam kawasan klinik terbabit.

Menurutnya, pegawai berkenaan kemudiannya memperkenalkan diri dan mengarahkan suspek berhenti tetapi lelaki itu bertindak melulu serta melanggarnya.

Katanya, pegawai berkenaan sempat melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kiri belakang untuk mempertahankan diri.

“Selepas menahannya, polis merampas beg sandang dan pemeriksaan terhadapnya menemui 11 paket plastik lutsinar disyaki heroin seberat 165.38 gram dan dua paket plastik lutsinar disyaki syabu seberat 15 gram.

“Pemeriksaan juga menjumpai sebilah pedang samurai dalam kenderaan berkenaan, selain dua anak perempuan suspek, masing-masing berusia 14 dan 15 tahun yang kemudiannya diserahkan kepada isterinya,” katanya.

Menurut Arshad, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek yang tinggal di Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru itu mendapatinya positif dadah dan mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Katanya, suspek ditahan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 15 (1) akta yang sama dan siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan 186 Kanun Keseksaan, masing-masing atas kesalahan cubaan membunuh dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Pegawai polis terbabit diberikan rawatan di Hospital Melaka selepas mengalami retak tulang kaki kanan dan lutut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 5:04 PM