Dua kucing hutan yang berjaya diselamatkan daripada dijual oleh seorang lelaki di Bau. Foto Ihsan PGA

DUA kucing hutan spesies 'Flat Headed Cat' yang dianggarkan bernilai RM50,000 dirampas daripada seorang lelaki selepas dipercayai mahu dijualnya di sebuah rumah di Bau semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Superintendan Rosdi Inai berkata, haiwan terlindung itu diselamatkan pada 6.30 petang dalam Ops Bersepadu Khazanah.

Menurutnya, operasi itu membabitkan tiga pegawai dan anggota Batalion 11 PGA bersama dua pegawai Sarawak Forestry Corporation (SFC) selepas menjalankan risikan dan maklumat yang diperoleh daripada orang awam.

"Dua ekor kucing hutan itu dijumpai disembunyikan dalam tandas di rumah yang diubah suai menjadi kandang haiwan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosdi berkata, kucing hutan jantan dan betina itu dipercayai diperolehi dari Bau/Lundu dan menunggu tawaran harga yang tertinggi daripada pembeli terutama golongan penggemar memelihara spesies haiwan eksotik.

Menurutnya, pasukan serbuan itu turut menahan seorang lelaki berusia 46 tahun yang mengaku sebagai pemilik haiwan berkenaan.

Katanya, kes berkenaan kemudiannya diserahkan kepada SFC untuk disiasat mengikut Seksyen 29 (1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 yang boleh membawa hukuman denda RM25,000 dan penjara dua tahun jika disabitkan kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 7:30 PM