Hamzah Osman

PULAU Langkawi masih bebas daripada kes novel koronavirus (2019-nCoV) berikutan langkah pencegahan diambil Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Langkawi.

Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi Dr Mohd Lutpiyudin Azidin berkata, pihaknya belum mengesan sebarang kes berkaitan penyakit itu di pulau berkenaan.

“Untuk itu, langkah pencegahan kita perketatkan dengan menempatkan petugas kesihatan di semua pintu masuk ke Langkawi sebagai langkah berjaga-jaga.

“Semua penumpang penerbangan antarabangsa yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) diperiksa menerusi alat pengesan suhu,” katanya ketika dihubungi di Langkawi, hari ini.

Mohd Lutpiyudin berkata, pengunjung yang didapati suhu badan tinggi (melebihi 37.5 darjah Celsius) akan dirujuk ke bilik saringan berhampiran.

“Selanjutnya, satu pasukan petugas yang disertai seorang doktor daripada Klinik Kesihatan Padang Matsirat dipanggil bagi membuat pemeriksaan lanjut.

“Kalau ada tanda kes novel koronavirus kita akan hantar individu terbabit ke Hospital Sultanah Maliha di sini, untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, selain di LTAL, pemeriksaan kesihatan turut dibuat di Jeti Kuah, Dermaga Tanjung Lembung, Telaga Habour Park dan Awana Porto Malai.

“Bagi empat pintu masuk selain LTAL, pengunjung antarabangsa perlu jujur mengisytiharkan tahap kesihatan masing-masing kepada kakitangan bertugas.

“Setakat ini hanya pemeriksaan penumpang di LTAL sahaja menggunakan alat pengesan suhu bagi pengesanan status kesihatan semasa,” katanya.

Sementara itu, Pengurus LTAL, Jefry Ramli berkata, secara purata, lima penerbangan antarabangsa mendarat di Langkawi setiap hari.

Beliau berkata, antaranya termasuk penerbangan Fly Scoot dan AirAsia dari Singapura dan Malindo Air (Chengdu, Kunming, Ningbo, Nanjing - China)

“Turut tiba, penerbangan Qatar Airways (Doha, Emiriah Arab Bersatu) dan TUI Airways (Manchester, Birmingham dan Gatwick - United Kingdom),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 10:37 AM
    PENUMPANG antarabangsa yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi diperiksa oleh Kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi menggunakan alat pengesan suhu. FOTO ihsan Pejabat Pesihatan Daerah Langkawi