Keadaan rumah penduduk selepas diterbangkan angin kuat. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Keadaan rumah penduduk selepas diterbangkan angin kuat. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


“TAK (TIDAK) sampai 20 minit saya pergi ke majlis kenduri, bila balik rumah tengok (lihat) rumah saya dah tak ada bumbung,” kata Che Jam Zakaria, 56.

Dalam kejadian 2 petang semalam, bumbung lapan rumah penduduk di Taman Meranti, dekat Changlun, diterbangkan puting beliung yang berlaku tidak sampai lima minit.

Menurut Che Jam, ketika kejadian hanya anak lelakinya berusia 30-an berehat dalam rumah.

“Dia kemudian terdengar seperti benda jatuh atas bumbung sebelum melihat bumbung diterbangkan,” katanya.

Katanya, dia dan suaminya, Ahmad Othman, 60, yang terus pulang ke rumah sejurus selepas itu dan mendapati bumbung sebahagian rumah berselerak di atas jalan.

“Anak saya kata angin kuat itu seperti puting beliung sebab ia berpusing-pusing sebelum menerbangkan bumbung rumah kami dan jiran berhampiran.

“Kami hanya tidur berbumbungkan langit malam tadi dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dah datang untuk melihat kerosakan dialami.

“Ketika kejadian tak ada hujan pun, cuaca panas terik tapi tak tahulah dari mana datang angin sampai habis bumbung diterbangkannya,” katanya ketika ditemui di Changlun, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamarulzamal Kasa berkata, setakat ini pihaknya dimaklumkan hanya lapan rumah di kawasan perumahan itu terbabit dalam kejadian berkenaan.

Katanya, anggotanya dihantar ke lokasi sejak petang semalam dan hari ini bagi membantu penduduk melakukan pembersihan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 11:52 AM