Basri. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Perlis menambah anggotanya bagi mengawal kemasukan pelancong dari Thailand dan China di setiap Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di negeri itu.

Pengarah JIM Perlis, Basri Othman berkata, pihaknya sedang bersiap sedia bagi menghadapi segala kemungkinan berikutan penularan wabak novel koronavirus (2019-ncov) yang dibawa oleh pelancong khususnya dari China.

Menurutnya, setakat ini tiada sebarang tindakan kuarantin dilakukan pihaknya terhadap pelancong dari negara Thailand dan China yang masuk melalui pintu sempadan Padang Besar dan Wang Kelian memandangkan jumlahnya amat sedikit dan disahkan bebas daripada virus berkenaan.

“Penambahan anggota sudah dilakukan beberapa hari sebelum musim cuti perayaan Tahun Baru Cina kerana berdasarkan pengalaman JIM negeri, keadaan di pintu sempadan begitu sesak apabila tiba musim perayaan.

“Bagaimanapun setakat ini keadaan masih terkawal. Namun, kita sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan memandangkan virus itu menular dipercayai kerana dibawa pelancong.

“Kita masih menunggu arahan daripada ibu pejabat di Putrajaya bagi mengambil langkah seterusnya dalam membendung wabak berkenaan ketika ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, dilaporkan empat warga China yang memasuki Malaysia melalui Johor dari Singapura disahkan positif 2019-ncov dan langkah kuarantin sudah diambil.

Mengulas lanjut, Basri berkata pihaknya sudah mengarahkan anggotanya untuk memakai topeng sewaktu bertugas di pintu sempadan.

“Ini sebagai langkah berjaga-jaga dan pada masa yang sama kita bekerjasama dengan petugas Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) bagi mengekang penularan wabak.

“Malah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan antara kedua agensi tetap dipatuhi dalam usaha bagi memastikan negeri ini bebas daripada wabak berkenaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 1:15 PM