Syaherah Mustafa

KEKURANGAN pada diri memerlukan dia untuk berfikir di luar kotak dengan mencipta basikal daripada besi terbuang yang sesuai untuk dikayuh olehnya yang bergelar Orang Kurang Upaya (OKU).

Perom A/L Cha Tong, 55, yang berketurunan Siam, sering kali dilihat menaiki basikal roda tiga yang digerakkan menggunakan batang pengayuh di sekitar kampungnya di Kampung Kubang Rambutan, Rantau panjang.

Dia yang mengalami cacat fizikal daripada paras pinggang ke bawah sejak kecil menggunakan kreativiti serta kemahiranya mengubah suai basikal agar boleh digerakkan dengan kekuatan tangan sesuai dengan keadaan dirinya.

“Saya sebenarnya dilahirkan normal namun akibat demam panas ketika berusia lapan bulan, saya mengalami komplikasi menyebabkan lumpuh sehingga ke hari ini. Bagaimana pun, ia tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan kehidupan.

“Suatu hari, saya berfikir bagaimana cara untuk memudahkan pergerakan sebelum mendapat idea untuk mencipta basikal roda tiga, 12 tahun lalu. Nak beli kerusi roda yang sesuai, saya tiada duit jadi saya berusaha menciptanya sendiri menggunakan besi buruk terbuang.

“Basikal ini bukan sahaja berfungsi sebagai kenderaan malah seperti kaki saya kerana boleh dikatakan setiap masa saya bergerak menggunakanya termasuk ketika di dalam rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Nyior, Kubang Rambutan.

Perom berkata, dia berusaha mengumpul sendiri besi yang terbuang sebelum membuat basikal khas itu dengan mencantumkan besi terbabit menggunakan mesin kimpalan miliknya.

Dia yang tinggal sendirian selepas kematian ibunya sejak beberapa tahun lalu berkata, dia beberapa kali rasa seperti berputus asa kerana sukar untuk menyiapkan basikal seperti yang dikehendakinya.

“Saya pernah cuba meminta orang lain untuk membuatnya namun hasilnya tidak seperti yang saya mahu dan selain tidak sesuai dengan keadaan serta kemampuan fizikal saya. Kini, saya memiliki dua basikal khas ini yang mana sebuah daripadanya untuk kegunaan di dalam rumah.

“Dengan adanya basikal khas ini saya boleh bergerak ke mana-mana sahaja saya mahu termasuk untuk ke kedai sekitar kampung. Malah penduduk di sini sudah kenal dengan saya yang menaiki basikal unik malah ramai juga memuji hasil kreativiti saya mencipta basikal ini.

“Biasanya saya hanya membawa basikal ini sekitar kampung sahaja, kalau mahu ke pekan atau bandar saya meminta bantuan saudara maradan jiran terdekat,” katanya yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan.

Terdahulu, Perom menerima kunjungan daripada Pengasas Thirdforce, Raja Shamri Raja Husain, dan ahlinya yang menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan wang tunai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 2:39 PM
RAJA Shamri (tiga kiri) dan ahlinya menyampaikan sumbangan kepada Perom di rumahnya di Kampung Padang Nyior. FOTO Syaherah Mustafa