ANTARA Pokok kelapa yang dimusnah beruang. FOTO Ramli Ibrahim
ANTARA Pokok kelapa yang dimusnah beruang. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


PENEROKA Rancangan Tanah Felda Perasu, dekat Gua Musang, bimbang dengan keselamatan berikutan lima beruang berkeliaran berhampiran rumah mereka sejak seminggu lalu.

Malah, lima beruang itu turut membaham puluhan ayam dan itik dalam reban serta memusnahkan tanaman penduduk terutama pokok kelapa.

Seorang peneroka, Isa manggin, 60, berkata, kejadian terbaharu awal pagi ini apabila lebih 10 pokok kelapa sekitar rumahnya dimusnah haiwan itu.

Katanya, dalam masa yang sama beruang terbabit turut membaham berpuluh ayam dalam reban milik jirannya hingga tinggal bulu sahaja.

Dia berkata, memang beruang itu sudah lama berkeliaran di kawasan rancangan tanah terbabit tetapi tidaklah mengancam keselamatan seperti berlaku sekarang.

“Saya memang ada terdegar bunyi sesuatu yang pelik di belakang rumah kira-kira jam 3 pagi, tetapi takut hendak keluar rumah kerana bimbang dengan keselamatan.

“Pukul 7 pagi tadi saya pergi ke belakang rumah melihat pokok kelapa yang baru berumur empat tahun habis musnah diserang beruang,” katanya.

Seorang lagi peneroka, Mohd Zain Hassan 70, pula berkata, keadaan yang paling membimbangkan sekarang adalah keselamatan ahli keluarga peneroka.

Katanya, kebanyakan mereka juga semakin takut untuk ke ladang sawit kerana bimbang lima ekor beruang berselindung di situ.

“Begitu juga pada waktu malam, kita berkurung dalam rumah untuk menjaga keselamatan bagi mengelakan terserempak dengan beruang terbabit,” katanya.

Dia berkata, masalah itu juga sudah dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) daerah ini tetapi belum ada tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 2:54 PM
Digital NSTP Subscribe