GAMBAR HIASAN
Suraya Roslan

LEBIH 227,000 orang menandatangani pestisyen yang dilancarkan oleh Muhammad Zaim Yusran Mohd Zaidy untuk kerajaan menghalang kemasukan warga China ke negara ini.

Petisyen dilancarkan sejak semalam di Kuala Lumpur bagi meminta kerajaan mengambil kira keadaan keselamatan rakyat ini dan mengelak sebarang kematian berlaku.

“Tolong tandatangan petisyen ini demi menyelamatkan keluarga dan anak kita,” tulisnya.

Setakat jam 2 petang hari ini, petisyen di change.org itu mendapat maklum balas ramai orang yang bersetuju supaya kemasukan warga China disekat bagi mengekang penyebaran wabak koronavirus.

Rata-rata yang menandatangani petisyen itu mahu kerajaan bertindak tegas dengan menghalang kemasukan warga China terutama dari Wuhan.

Bagi Husna Arshad, dia menyokong usaha menghalang kemasukan warga China itu demi keselamatan rakyat Malaysia.

“Bahaya kepada rakyat Malaysia. Banyak negara sudah menghantar pulang rakyat mereka. Kenapa Malaysia tidak melakukan perkara sama?” tulisnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tidak bercadang menghentikan pengecualian visa selama 15 hari yang diperuntukkan untuk pelancong dari China, meskipun Malaysia berdepan ancaman koronavirus.

Kerajaan menerusi agensi berkaitan akan mempergiatkan langkah pencegahan termasuk saringan di semua pintu masuk negara bagi mengekang penyebaran virus yang berasal dari Wuhan itu.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 3:29 PM