Jemaah Masjid Sultan Idris Shah II menunaikan solat hajat membendung penularan wabak influenza. FOTO Effendy Rashid.
Jemaah Masjid Sultan Idris Shah II menunaikan solat hajat membendung penularan wabak influenza. FOTO Effendy Rashid.
Mohamed Farid Noh


MASJID di seluruh Johor diarah mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat 31 Januari ini bagi memohon pertolongan Allah SWT dalam membendung penularan wabak coronavirus.

Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Md Rofiki Shamsudin, berkata surat arahan akan diedarkan ke semua 913 masjid mulai esok.

“Solat hajat diadakan bagi memohon kepada Allah supaya penularan wabak coronavirus di negeri ini dan seluruh negara dapat dibendung.

“Solat hajat itu juga bagi memohon Allah SWT mengurniakan kesejahteraan, keselamatan, keafiatan dan dilindungi dari wabak penyakit berbahaya termasuk coronavirus kepada seluruh rakyat Johor,” katanya ketika dihubungi.

Hari ini media melaporkan terdapat pengesanan satu lagi kes yang disahkan dijangkiti 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) di Johor Bahru.

Kes terbaru itu membabitkan seorang lelaki berumur 40 tahun yang berasal dari Wuhan, China yang tiba di Johor Bahru pada 22 Januari lalu dengan menaiki bas dari Singapura.

Kes berkenaan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan tiga kes positif membabitkan warga emasdan dua orang cucunya yang memasuki Johor Bahru sejak Jumaat lalu. Mereka sudah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dikuarantin.

Hari ini seorang kanak-kanak warga China berusia dua tahun yang disyaki dijangkiti coronavirus yang dilarikan ibu bapanya untuk mengelak kuarantin di sini, ditahan semula di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, kira-kira jam 9.20 malam tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md Din, dilaporkan mengesahkan laporan polis yang dibuat seorang doktor Hospital Sultanah Aminah (HSA) awal pagi semalam mengenai kejadian itu yang tular di media sosial malam tadi.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 4:02 PM