HAZANI GHAZALI
HAZANI GHAZALI
BERNAMA

PASUKAN keselamatan menggagalkan 40 cubaan culik di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) sejak 2018 sehingga kini, hasil kekuatan anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) serta aset sedia ada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali berkata, langkah mengukuhkan keselamatan dengan mengetatkan kawalan di laluan berisiko, berjaya mengesan lebih awal tindakan kumpulan pengganas dari Selatan Filipina yang menculik untuk wang tebusan.

“Sebab itu, pada 2017 tiada penculikan, 2018 (dua kes), 2019 (dua kes). Ada 40 percubaan yang dapat kita patahkan sejak 2018, kerana apabila ESSCOM terima maklumat, kita gerak semua (anggota dan aset),” katanya kepada Bernama.

Menurut Hazani, sejak tahun 2000, pusat-pusat peranginan di pantai timur Sabah menjadi sasaran penculik, mendorong penubuhan ESSCOM pada 2013 bertujuan memperkukuh keselamatan dengan meletakkan ‘mata dan telinga’ selain memperbanyakkan ‘polis komuniti’ di pusat peranginan.

“Polis juga menguatkuasakan perintah berkurung di perairan ESSZONE bagi menghalang jenayah culik, pada masa sama diwujudkan pos-pos keselamatan dan meletakkan anggota keselamatan di pusat-pusat peranginan, kerana kita tahu kekerapan berlaku penculikan di pusat peranginan,” katanya.

Namun pada 2015, kumpulan penculikan untuk wang tebusan mulai beralih arah ke laut terbuka dengan menculik kru kapal nelayan, bot tunda atau sebarang kapal serta bot yang bergerak di perairan ESSZONE.

Hazani berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk menangani masalah penculikan di ESSZONE termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina dari segi risikan.

Mengulas insiden penculikan lapan nelayan warga Indonesia oleh kumpulan Abu Sayyaf pada 16 Januari lalu di kawasan perairan sama dengan kejadian culik tiga nelayan warga sama di Tambisan pada September tahun lepas, Hazani mengakui pihaknya menerima maklumat risikan mengenainya tetapi tidak menjangka kejadian berlaku pada siang hari.

“Mereka ini bermain (menculik) berdekatan dengan kawasan sempadan antarabangsa Filipina, supaya mereka senang lari bawa mangsa,” katanya sambil menambah kumpulan itu dibantu spotter yang menjadi ‘mata-mata’ mengesan mangsa atau kehadiran pasukan keselamatan.

Berikutan itu, beliau berharap perintah berkurung dapat ditumpukan ke kawasan hotspot yang menjadi laluan jenayah rentas sempadan, antaranya perairan Pulau Sipadan dan Pulau Mabul di Semporna, selain Pulau Ligitan (Tawau) serta perairan Geem Reef (Tambisan, Lahad Datu).

Ketika ini perintah berkurung di perairan ESSZone merangkumi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan bermula 6 petang hingga 6 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 4:30 PM