ACRYL Sani menafikan menegaskan video berkenaan adalah kes lama yang ditularkan semula.
ACRYL Sani menafikan menegaskan video berkenaan adalah kes lama yang ditularkan semula.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


BUKIT Aman menafikan penularan video anggota polis yang dikatakan menerima rasuah bagi melindungi kemasukan warga asing tanpa izin (PATI) di Tawau, Sabah.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, video berkenaan adalah kes lama yang ditularkan semula.

Menurutnya, video berkenaan pernah tular pada Mei 2016 dan pihaknya sudah mengambil tindakan susulan penularan itu.

“Satu kertas siasatan tatatertib sudah dibuka pada 2016 oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) bagi menentukan kesahihan kejadian berkenaan.

“Hasil siasatan menunjukkan tiada keterangan kukuh untuk mengaitkan anggota polis terbabit menerima rasuah daripada PATI warga Indonesia bagi melindungi mereka masuk ke Tawau, Sabah,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, sebagai langkah pencegahan seorang pegawai kanan dan anggota ditukarkan serta-merta bagi menghindari potensi berlaku salah laku.

Tambah beliau, JIPS turut mengesan beberapa kelemahan dalam penugasan anggota polis di Tawau khususnya dari aspek pengurusan dan penyeliaan yang perlu diberi perhatian serta penambahbaikan.

Katanya, pihaknya mengambil inisiatif membuat penambahbaikan terhadap kelemahan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 4:38 PM