Mohd Redzuan (kiri) dicabar Mas Ermieyati (kanan). FOTO NSTP.


DUA pemimpin utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka akan dicabar dalam mempertahankan jawatan sebagai ketua bahagian masing-masing.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang mempertahankan jawatan Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah akan dicabar Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin serta Setiausaha Bersatu bahagian, A Lukman Ab Ghani.

Mohd Redzuan yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menjadi individu terawal menyerahkan borang pencalonan iaitu 9.30 pagi, sebelum disusuli Mas Ermieyati dan A Lukman sejam kemudian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri merangkap EXCO Perindustrian, Pelaburan dan Perdagangan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, berhadapan situasi ‘satu lawan satu’ dalam mempertahankan Ketua bahagian Tangga Batu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu dicabar ahli biasa Dzulkarnain Saiful Nathan.

Turut dicabar adalah EXCO Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi negeri, Datuk Noor Effandi Ahmad yang berhadapan saingan tiga penjuru dalam merebut jawatan Ketua Bersatu Kota Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas itu akan dicabar ahli Bersatu, Hishamuddin Abdul Karim dan Rashidi Osman.

Mesyuarat Bersatu peringkat cawangan akan dimulakan pada 15 Februari sehingga 29 Mac dan mesyuarat di peringkat bahagian pula dijadualkan pada 18 April, manakala Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) pula pada 25 hingga 28 Jun depan.

Sementara itu, Mohd Redzuan berkata, semua calon yang bertanding dalam pemilihan di semua peringkat disarankan supaya bersaing secara sihat.

Katanya, langkah itu sebagai membuktikan Bersatu adalah sebuah parti mengekalkan ciri demokrasi dan mengamalkan persaingan bersih yang menjadi imej parti.

“Saya gesa ahli pilih parti supaya memilih bukan kerana seseorang calon ada nama, tetapi seorang yang boleh memimpin untuk masa depan agama, bangsa.

“Bawalah satu budaya berkempen secara sihat untuk mempamerkan jati diri kita kepada ahli yang akan memilih kelak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 4:45 PM