Dr Mahathir dan Mukhriz menang tanpa bertanding. Foto NSTP
Dr Mahathir dan Mukhriz menang tanpa bertanding. Foto NSTP
BERNAMA

PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad mengekal jawatannya sebagai ketua bahagian parti itu di Langkawi selepas diumumkan menang tanpa bertanding hari ini.

Setiausaha Badan Pimpinan BERSATU Kedah Datuk A Aziz Mahamod berkata, sesi pencalonan untuk pemilihan parti menyaksikan tiada individu lain yang mengemukakan borang untuk mencabar Dr Mahathir.

A Aziz juga mengumumkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Bahagian BERSATU Jerlun apabila turut tidak dicabar.

“Kita ada 15 bahagian di Kedah dan daripada jumlah itu lima bahagian tidak dicabar (untuk jawatan ketua bahagian) iaitu Langkawi, Jerlun, Alor Setar, Pendang dan Kulim manakala bahagian lain wujud saingan yang membabitkan pertembungan dua hingga lima calon.

“Enam bahagian mencatatkan saingan satu lawan satu dan paling menarik ialah di Kubang Pasu menyaksikan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah dicabar oleh bekas Setiausaha BERSATU Kubang Pasu, Mohd Nasir Jamaludin bagi jawatan Ketua Bahagian Kubang Pasu,” katanya pada sidang media di Alor Setar hari ini.

Menurutnya, pemilihan bagi jawatan Ketua Bahagian BERSATU Merbok pula mencatatkan jumlah calon teramai apabila penyandangnya, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid bakal dicabar empat calon lain.

Sementara itu, A Aziz berkata, pihaknya berpuas hati dengan proses penamaan calon hari ini yang berlangsung dalam keadaan tenang dan lancar bermula 9 pagi hingga 2 petang.

“Proses hari ini berjalan dalam keadaan aman dan tiada perkara yang tidak diingini berlaku dan saya harap kelancaran ini dapat diteruskan pada proses berkempen nanti yang dijangka memakan masa dua minggu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 6:26 PM