CHRISTINA Liew berkata mengenai wabak koronavirus.
CHRISTINA Liew berkata mengenai wabak koronavirus.
BERNAMA

SEMUA penerbangan dari Sabah ke Wuhan, China diberhentikan berikutan wabak koronavirus yang melanda wilayah berkenaan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata setiap minggu terdapat 14 penerbangan ke Wuhan dan ia akan beroperasi semula apabila wabak itu dapat diselesaikan.

“Hanya penerbangan ke Wuhan dihentikan dan penerbangan ke wilayah lain di China masih berjalan seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri Sabah, di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib.

Ditanya sama ada wabak berkenaan menjejaskan kehadiran pengunjung atau pelancong ke Sabah, Christina berkata tidak dinafikan bahawa wabak berkenaan menjejaskan kehadiran pelancong khususnya daripada China.

“Untuk tahun ini kita belum meletakkan sasaran kehadiran pelancong kerana kita menghadapi cabaran bermula awal tahun dengan wabak ini.

“Saya akan mengadakan perbincangan dengan Lembaga Pelancongan Sabah mengenai perkara itu sebelum ia diumumkan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata kerajaan Sabah sudah melaksanakan beberapa langkah pencegahan untuk mengelakkan penularan wabak koronavirus, khususnya pemeriksaan kesihatan kepada individu yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

“Kita bukan sahaja membuat pemeriksaan kepada pelancong, malah ia juga membabitkan rakyat kita yang baru balik dari melancong.

“Kita tidak tahu dari mana mereka melancong, oleh itu mereka juga harus mendapatkan pemeriksaan,” katanya.

Diminta mengulas mengenai tindakan beberapa hotel di Sabah yang mengeluarkan larangan memakai penutup mulut kepada pekerjanya bagi menjaga hati pelancong, Mohd Shafie berkata pihaknya akan melihat perkara itu.

“Apa yang penting adalah menjaga di pintu masuk Sabah. Namun, saya akan melihat isu ini dan saya yakin tidak semua hotel mengeluarkan arahan itu. Kita akan bekerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membendung masalah ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 7:26 PM
    Digital NSTP Subscribe