KEADAAN motosikal Ridzuan yang terbabas dan maut di tempat kejadian di Jalan Kuala Jeneris ke Sungai Gawi (Aring). FOTO IHSAN POLIS HULU TERENGGANU
Ahmad Rabiul Zulkifli


LELAKI maut apabila motosikal berkuasa tinggi ditungganginya terbabit kemalangan di Kilometer 57 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi, Aring, Hulu Terengganu, hari ini.

Dalam kejadian pada 11.10 pagi, mangsa Ridzuan Ibrahim, 45, dari Bandar Amanjaya, Sungai Petani, Kedah mati serta merta di lokasi akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, mangsa difahamkan menunggang motosikal dari arah Ipoh, Perak menghala ke tempat kerja di Gong Badak.

“Apabila di lokasi kejadian, motosikal Triumph Tiger Explorer ABS yang ditungganginya hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kanan menghala ke Tasik Kenyir.

“Akibat itu, mangsa terjatuh dan ditindih motosikal sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 8:06 PM