Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Dr Mahesh Appannan memantau perkembangan terkini penularan wabak koronavirus baharu di Malaysia dan seluruh dunia di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) hari ini. Foto Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin


RAKYAT Malaysia di Wuhan, China diminta untuk menghubungi pejabat kedutaan atau konsulat berhampiran bagi membolehkan kerajaan memantau perkembangan mereka di negara berkenaan.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tindakan itu bertujuan untuk mengenal pasti jumlah tepat rakyat Malaysia yang berada di China terutama di Wuhan.

“Kami sudah mengenal pasti 49 rakyat tempatan berada di Wuhan terdiri daripada pelajar dan golongan profesional.

“Proses evakuasi (membawa pulang) rakyat Malaysia di Wuhan ada dibincangkan dalam mesyuarat sebentar tadi, namun setakat ini tiada keperluan lagi untuk membawa mereka pulang,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri mesyuarat Penyelarasan Kluster Koronavirus Baharu (2019 nCoV) di Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail turut dihadiri Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya serta Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Selain itu, turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee Daud, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Sementara itu, Gobind memaklumkan kerajaan akan mengadakan sidang media pada setiap hari bagi mengemas kini keadaan semasa berkaitan koronavirus di negara ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam berkongsi maklumat di media sosial.

“Semak dulu maklumat sebelum kongsi kerana banyak maklumat yang dikongsi didapati palsu. Perkara itu akan mendatangkan masalah termasuk mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 8:06 PM