Foto hiasan
Foto hiasan
Mohamed Farid Noh

POLIS menafikan laporan tular mendakwa seorang warga China mati disebabkan koronavirus baharu di Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang di Gelang Patah, Iskandar Puteri pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, gambar membabitkan bas pelancong dan mayat warga emas Singapura yang tular sejak tengah hari ini adalah membabitkan warga emas Singapura berusia 78 tahun yang meninggal dunia akibat serangan jantung.

Menurutnya, polis terima panggilan kecemasan daripada seorang Pegawai Imigresen Kompleks Sultan Abu Bakar pada 7.05 pagi.

“Pegawai terbabit memaklumkan berkenaan si mati iaitu seorang lelaki warga Singapura berusia 78 tahun tidak sedarkan diri di dalam bas pelancong yang berhenti di hadapan kaunter imigresen di situ untuk pemeriksaan pasport.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati si mati bersama isterinya yang juga warga Singapura yang berumur 68 tahun menaiki bas pelancong itu sedang dalam perjalanan dari Singapura menuju ke Genting Highlands untuk melancong.

“Ketika bas berhenti di pusat pemeriksaan pasport Kompleks Sultan Abu Bakar, tiba-tiba si mati mengadu sakit dada dan berasa kurang selesa kepada isterinya.

“Pemandu bas kemudiannya memaklumkan kejadian ke kaunter Imigresen sebelum pemeriksaan lanjut mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia akibat serangan jantung dengan mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulkhairi berkata, berdasarkan maklumat didapati mangsa mempunyai rekod perubatan sakit jantung dan rawatan dijalankan di Singapura.

“Polis menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati dan tidak menyebarkan berita yang belum dipastikan kebenarannya.

“Polis juga sudah memulakan siasatan terhadap individu yang menyebarkan berita palsu ini mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 9:30 PM