SENJATA dan rusa ditemui dalam bot. FOTO Ihsan PGA
Hazsyah Abdul Rahman


LIMA lelaki dipercayai pemburu haram diberkas di kawasan Pusat Pemeliharaan Sanktuari Hidupan Liar Sukau, dekat Kinabatangan, semalam.

Empat lelaki tempatan dan seorang warga asing yang berusia 33 hingga 51 tahun itu ditahan 11.30 malam tadi.

Pegawai Pemerintah, Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran, Asisten Komisioner Mohd Nasruddin M Nasir berkata, sebelum kejadian pihaknya menerima maklumat berkaitan pemburuan haram di lokasi terbabit.

Menurutnya, sepasukan anggota Tiger Platoon bersama Warden Kehormat Hidupan Liar Kinabatangan bergegas membuat rondaan di kawasan Tandu Batu Pusat Sanktuari berkenaan menaiki sebuah bot.

Katanya, sebaik tiba di lokasi itu, anggota bertugas melihat khemah di tebing sungai lalu membuat pemeriksaan.

“Sejurus itu, sekumpulan lelaki bertindak melarikan diri ke hutan berhampiran. Bagaimanapun, selang 15 minit kemudian sebuah bot dinaiki lima lelaki datang ke khemah terbabit.

“Sebaik diperiksa, kami menemui seekor rusa yang sudah mati, selain selaras senjata buatan sendiri yang diletakkan dalam bot,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

LIMA lelaki disyaki pemburu haram ditahan. FOTO Ihsan PGA

Mohd Nasruddin berkata, semua suspek kemudiannya ditahan untuk tindakan kerana terbabit dalam aktiviti pemburuan haram.

“Semua barangan ditemui di lokasi terbabit turut dirampas. Antaranya dua buah bot, dua buah enjin sangkut, parang, peluru, selaras senapang dan keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM33,000, termasuk rusa.

“Kes disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 9:48 AM