Amirul Aiman Hamsuddin


SEBANYAK 11 kenderaan yang diparkir di Flat Taman Kota Pendamar 2, Klang rosak selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki, malam tadi.

Dalam kejadian 9.35 malam itu, pemandu berusia 46 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati pemandu terbabit dari arah Pendamar Indah menuju ke Pelabuhan Klang.

“Ketika melalui kawasan itu, kereta dipandunya itu melanggar beberapa kenderaan diparkir.

“Siasatan awal mendapati, pemandu terbabit kemudiannya mengundur dan melanggar beberapa kenderaan lagi sebelum cuba melarikan diri. Dia yang gagal mengawal kenderaan kemudiannya melanggar tiang elektrik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pihaknya sudah menahan pemandu kenderaan itu dan permohonan reman sudah dilakukan jam 9 pagi tadi.

“Ujian air kencing juga akan dilakukan kepada suspek,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1)Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 / Seksyen 45a (1) APJ 1987.

Terdahulu, tindakan suspek yang merempuh beberapa kenderaan di kawasan berkenaan tular di media sosial.

Netizen mendakwa, pemandu kenderaan pacuan empat roda itu mabuk dalam insiden berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 10:23 AM
Penduduk memeriksa kenderaan yang rosak dilanggar suspek. FOTO Ihsan pembaca